Lazimnya, saya memilih untuk menaiki bas. Dari JB Sentral, saya akan menaiki bas Causeway Link, CW2 kemudian bertukar kepada bas bernombor 950 Woodlands Interchange. Sebelum menaiki bas ini, selalunya, kami perlu beratur panjang sebelum memasuki Singapura. Di sinilah selalu­nya saya akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia.

Daripada ratusan individu yang saya temui, saya paling terkesan dengan perbualan saya bersama seorang ibu tunggal berusia lebih kurang 40-an. Dia berdiri tenang dengan memegang erat sekaki payung. Apabila didekati, wanita ini sangat ramah.

Kami berbual tentang pelbagai perkara termasuk tentang kehidupan dan pekerjaannya. Cerita ibu tunggal kepada empat anak itu, dia sudah bekerja di Singapura lebih kurang 10 tahun sebagai tukang cuci. Gajinya ketika itu S$1,500. Pada tahun 2014, S$1 bernilai RM2.45 atau lebih tinggi sedikit.

Apa yang boleh saya rumuskan, rutin hariannya sangat memenatkan, Beritahunya, dia akan bangkit se­awal pukul 3 pagi. Menunggu bas pada pukul 5.30 pagi. Bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah selama lapan jam, kemudian akan menunggu bas semula lebih kurang pukul 6 petang. Sampai di rumah kira-kira pukul 9 malam. Sebelum tidur, dia akan memasak untuk anak-anaknya. Ketika pertemuan kami, dia tidak bekerja dan mahu berjumpa saudaranya di Geylang Serai.

Saya bertanya kepadanya, tidak letih­kah walau memperoleh gaji lebih besar daripada tukang cuci di Malaysia? Dengan pantas dia menjawab: “Demi anak-anak. Sekarang ini, kakak perlu kerja lebih masa kerana anak kakak mahu masuk universiti.”

Saya terdiam seketika. Tatkala bas tiba di hentian, dia meninggalkan saya dengan kata-kata ini: “Bila hidup kita susah dan terdesak, wanita macam kita sekelip mata akan menjadi berani dan kuat.” Saya berlalu dengan me­ngenang kata-katanya.

Kisah seterusnya masih di Johor. Saya bertemu dengan seorang wanita yang menjadi pemandu bas sekolah. Pertama kali melihat gayanya memandu, hati saya berbisik: “Dahsyat­nya, bawa bas besar, ini memang bukan wanita sembarangan.”

Ketika kami bersembang, jalan cerita­nya persis kepada wanita yang saya jumpa di Woodlands. Dia ditinggalkan suami dan dibiarkan terkapai-kapai. Ketika itu katanya, dia tidak bekerja. Secara kebetulan, kenalannya mencari pemandu bas sekolah dan dia menawarkan diri untuk kekosongan itu.

“Orang kata saya gila sebab pandu bas, tapi saya tak kisah. Saya ada tiga anak untuk diberi makan dan sekolah. Saya kena kerja lebih kuat sebab anak sulung saya bakal menjadi cikgu,” katanya. Cerita itu sudah lima tahun berlalu. Saya yakin kehidupannya kini jauh lebih baik atas bantuan anak-anak yang semakin membesar.

Dua tahun lalu, saya diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS). Di Pennsylvania, saya berjumpa seorang imigran wanita berusia awal 20-an yang ke negara Uncle Sam ini untuk bekerja. Dia lari dari tanah airnya yang sedang bergolak dan bekerja di AS sebagai pembantu penyelidik.

Katanya, ketika tiba di AS, dia tidak berwang, menumpang di rumah ibadat sebelum dia dibantu oleh warga AS. Selepas ditawarkan bekerja, pada setiap bulan dia akan mengirimkan separuh daripada gajinya kepada ke­luarganya di sebuah negara Arab. Tidak mudah baginya berada di AS lantaran dirinya beragama Islam apatah lagi berseora­ngan tanpa saudara-mara.

Namun, di sebalik cerita tiga wa­nita cekal itu, sanubari saya meruntun membaca laporan Reuters tentang bagaimana wanita di Pakistan berjuang demi kelangsungan hidup. Zahra Ali misalnya terpaksa menjadi pemandu teksi. Ujar wanita berusia 32 tahun itu, selepas kehilangan suami­nya beberapa tahun lalu, dia perlu menyara dua anaknya.

“Saya hanya mempunyai kemahiran memandu, apa lagi yang boleh lakukan?” katanya kepada Reuters.

Berdasarkan tinjauan Thomson Reuters Foundation Poll, Pakistan adalah negara ketiga paling berbahaya bagi wanita di dunia. Lebih 1,000 wanita termasuk kanak-kanak perempuan dibunuh secara kejam setiap tahun. Sebanyak 90 peratus wanita Pakistan dilaporkan berdepan dengan keganasan rumah tangga. Rata-ratanya mereka adalah pencari nafkah untuk keluarga. Data itu sudah cukup me­nunjukkan kesengsaraan hidup me­reka.

Tidak dinafikan, menjadi pengamal media, saya telah berjumpa dengan ramai wanita hebat dalam lapangan masing-masing. Namun, kisah wanita sebagai tukang cuci dan pemandu bas di Johor, pembantu penyelidik yang bergaji kecil di AS dan pemandu teksi di Pakistan lebih menyuntik inspirasi saya.

Dalam diri mereka terdapat deretan emosi dan karakter positif. Mereka reda dengan ketentuan Allah, berjiwa besar, kebal menahan malu, tidak mudah mengalah, berdikari, berani, kuat dan tabah berdepan dengan segala rintangan.

Saya tidak pernah sesekali memandang rendah kepada wanita mencari rezeki dengan kerja yang dipandang lekeh sesetengah orang. Bagi saya, wanita pencari nafkah adalah manusia hebat dan luar biasa. Semoga syurga menanti mereka selepas me­rentas segala kesulitan dan kepayahan mereka di dunia.