Meskipun berbaki empat perlawanan, JDT nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mening­galkan jauh pesaing lain pada Liga Super dengan mengumpul 46 mata selepas 18 perlawanan berbanding pasukan di kedudukan kedua yang mengutip 30 mata.

Secara matematik, kedudukan skuad Harimau Selatan yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Mexico, Benjamin Mora, 40, sudah tidak mampu dikejar oleh pasukan lain apabila JDT terus mendominasi kejuaraan Liga Super sejak tahun 2014.

Walaupun juara sudah diketahui, namun saingan Liga M masih ada serinya apabila tumpuan kini terarah kepada perebutan kedudukan naib juara Liga Super melibatkan lima pasukan bersaing rapat iaitu Pahang (30 mata), Kedah (29 mata), Selangor (28 mata), Perak (27 mata) dan Me­laka United (26 mata) selain beberapa pasukan bawah yang cuba melakukan pendakian mustahil.

Selain kehangatan Liga Super, saingan Piala FA juga tidak kurang hebatnya apabila Pahang berjaya mengatasi Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama, ditambah lagi dengan jaringan menarik pemain pertahanan import Pahang, Herold Goulon hingga­ menjadi bualan berminggu­ lamanya.

Namun disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Skuad Tok Gajah kempunan melangkah ke pentas final apabila tewas secara agregat 3-4 kepada skuad The Bos Gaurus.

Perak dijangka menentang pemenang antara Kedah dan Felda­ United di pentas final pada 27 Julai depan.

Selain aksi menarik di atas padang, peminat bola sepak turut disajikan saingan hangat di luar padang terutamanya kisah tidak berkesudahan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai depan.

Ia susulan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta menerusi satu status yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook miliknya minggu lalu. Maka, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah bersama barisan exco sebulat suara mahu EGM itu diadakan segera atas desakan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ).

Dalam erti kata lain, KAFA akan mengadakan pemilihan bagi kepimpinan baharu badan induk bola sepak negeri itu dengan menetapkan 30 Jun (semalam) sebagai tarikh tutup pencalonan.

Terdahulu, ada suara-suara meminta agar KAFA tidak perlu ada pemilihan kononnya mahu peralihan kuasa dalam persatuan itu berlangsung dalam semangat kekeluargaan tanpa melibatkan pertandingan memandangkan mereka sudah ada barisan pasukan yang boleh bekerja.

Dari satu sudut, mungkin permintaan itu ada baiknya tetapi ia dilihat membelakangkan para peminat bola sepak Kelantan yang mahu menyaksikan kepimpinan baharu dipilih secara demokrasi bagi menjulang semula nama gah The Red Warriors (TRW), bukan sekadar tangkap muat.

Maka, sebaik tarikh tutup pencalonan pada pukul 12 tengah hari semalam, perebutan jawatan Presiden KAFA menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan tiga calon sudah dijangka iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; usahawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Seorang lagi calon tanpa di­sangka-sangka iaitu bapa pembangunan bola sepak Kelantan yang juga bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut dicalonkan untuk jawatan ter­sebut.

Senario itu bakal menyaksikan pemilihan pada EGM KAFA akan menjadi sengit dan panas yang pastinya dinanti-nantikan bukan sahaja peminat bola sepak di Kelantan bahkan seluruh negara.

Bagaimanapun, dalam tempoh sehingga 6 Julai depan, keempat-empat calon itu masih boleh menarik diri daripada bertanding sehingga Rabu ini termasuk calon bagi jawatan lain seperti timbalan presiden, naib presiden, setia­usaha agung dan barisan exco.

Apa pun, penulis berpendapat, sudah tiba masanya KAFA memilih kepimpinan berwibawa, memiliki kredibiliti, komitmen, pengetahuan, pengalaman serta karisma bagi memartabatkan semula pasukan Kelantan supaya kembali gah ketika dijulang de­ngan gelaran TRW.

Tiada lagi ruang tersilap pilih kerana pasukan Kelantan sudah lama nazak berbanding sejarah­nya yang gemilang. Jika silap pilih, penulis percaya pasukan Kelantan akan terus terpuruk bersama kepimpinan yang nantinya ibarat tikus membaiki labu.