Meskipun ramai yang menasihatinya agar jangan lagi melaungkan azan kerana bimbang berlaku pertengkaran dengan orang bukan Islam, namun si muazin yang bersuara buruk itu tetap berkeras kerana dia berbangga dapat melaungkan azan di sebuah negeri di mana penduduknya tidak mendirikan solat. 

Suatu hari seorang bapa bukan Islam bertemu dengan seorang Muslim lalu bertanya siapakah muazin tersebut? 

Katanya, lelaki yang melaungkan azan itu telah memberikan kebahagian kepadanya. Lantas lelaki Islam itu bertanya: “Kebahagian apakah yang anda peroleh daripada muazin yang bersuara buruk itu?”

Lelaki bukan Islam itu menjelaskan, suara muazin itu menembusi dinding rumahnya.  Dia mempunyai seorang anak gadis yang cantik dan berakhlak mulia. Anaknya itu sudah tertarik untuk memeluk Islam dan mencari lelaki yang benar-benar beriman. 

Sehinggalah suatu hari, anak gadisnya mendengar suara bilal itu melaungkan azan. Katanya, dia tidak pernah mendengar suara seburuk itu di tempat ibadahnya. Bapanya berkata, itulah suara azan, iaitu ucapan utama bagi lelaki beriman. 

Disebabkan suara azan yang buruk itu, gadis tersebut membatalkan hasratnya untuk menganut Islam dan bapanya begitu bergembira dan berterima kasih kepada bilal tersebut. 

Jalaluddin sebenarnya membawa kisah sindiran yang sangat halus. Amalan beragama tetapi ditampil dalam imej dan pembawaan yang buruk ternyata boleh menghalang orang daripada menerima Islam atau kebaikan daripada agama ini. Dalam ruang yang lain, Jalaluddin menyatakan kekagumannya tentang iman dan ketulusan seorang tokoh sufi, Bayazid Al-Bustami. 

Keberagamaan yang dibawa Bayazid ialah selain menekankan soal lahiriah, ia tidak melupakan soal ketulusan dalam beriman. Satu titis keimanan seperti Bayazid boleh membawa orang kembali kepada Allah. Jalaluddin mengingatkan bahawa keberagamaan yang ikhlas biarpun kecil mampu mengubah dunia sebaliknya beragama dalam bentuk kesombongan menjauhkan orang daripada Islam. 

Sebaliknya, dengan menampilkan Islam dalam bentuk yang keras dan tidak mementingkan soal kemanusiaan hanya menjauhkan orang daripada merasa nikmat dengan keindahan agama suci ini. 

Kita sering mendengar ada penceramah agama berteriak dan mengisi majlis ilmunya dengan kata nista dan kejian terhadap kelompok yang bertentangan dengan aliran fahamannya. Suara-suara keras itu akhirnya menjauhi orang daripada agama. 

Seperti mana pernah disebut seorang ulama dan reformis pada akhir abad ke-19, Sheikh Muhammad Abduh sekembalinya dari Eropah: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa orang Islam sebaliknya ketika aku pulang ke Timur berjumpa ramai orang Islam namun tidak dapat melihat Islam.”

Sejak lebih berdekad-dekad lamanya, aktivis Islam cuba mengetengahkan konsep negara Islam. 

Tokoh intelektual seperti Dr. Kalim Siddique pernah merintis penubuhan Parlimen Muslim di Britain pada pertengahan tahun 1990-an untuk menunjukkan umat Islam mahu berperanan dalam sistem demokrasi di sebuah negara Eropah. Namun berbeza kini, terdapat kelompok Islam cuba mempromosikan pelaksanaan undang-undang syariah di United Kingdom namun tampil dengan imej seperti aktivis ISIS.

Pada masa ini, konsep negara Islam musnah akibat imej buruk dibawa oleh kelompok ekstremis seperti Al-Qaeda dan Daesh yang telah meranapkan negara-negara umat Islam seperti Iraq dan Syria. 

Sistem khalifah yang sebelum ini menjadi dorongan motivasi kepada penggerak Islam untuk mengembalikan semula sistem pemerintahan Islam kini telah dirosakkan oleh puak ekstremis yang cenderung merosakkan sistem bernegara. Begitu juga, perkataan jihad yang begitu agung dalam al-Quran telah menjadi momokan dan tercalar akibat perbuatan salafi jihadi yang gagal memahaminya dalam konteks sebenar. 

Jihad pada mereka hanya menekankan soal perang melawan orang kafir dan dikotori dengan pembunuhan tanpa hak. 

Perbuatan mereka makin meluaskan jurang orang bukan Islam dengan Islam dan meletakkan masyarakat Islam dikandang orang salah serta menjadi mangsa Islamofobia.