Ia merupakan istiadat penuh bersejarah sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat itu sendiri memberi makna besar kepada negara dan sistem Raja Berperlembagaan apabila Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi raja atau monarki serta diberi kuasa ter­tentu.

Sebagai rakyat di dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, kita sebenarnya cukup bertuah dengan keperibadian yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong.

Sejak seminggu lalu, pelbagai kisah peribadi Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah diceritakan secara mendalam sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik.

Dan hari ini, Kosmo! dalam ­ruangan rencana K2 turut berkongsi 10 muka surat dengan memaparkan pelbagai cerita dan gambar-gambar menarik sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Sikap rendah diri dan keperi­badian baginda berdua bukanlah asing bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, namun tanpa kita sedari, sikap positif sebegini sebenarnya telah membentuk ramai warganegara yang berhati mulia.

Untuk tulisan kali ini, penulis ingin berkongsi satu kisah biasa yang mampu menimbulkan pe­ngalaman luar biasa bagi mereka yang melaluinya.

Terletak jauh di Sandakan, Sabah, seorang pemuda berusia 31 tahun, Yunizam Yusof mengabadikan seluruh kehidupan hariannya dengan menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma kepada waris ke­luarga yang memerlukan.

Berbekalkan dua van, dengan satu daripadanya kini dalam proses baik pulih, pemuda digelar Abam Botak itu akan melalui hari-hari yang cukup sibuk bermula dari awal pagi sehingga tengah malam.

Malah, pengalaman itu turut dikongsi oleh pemuda ini dalam Facebook peribadi miliknya atas nama Yunizam Yusof.

Menyedihkan buat Yunizam, apabila dia juga terpaksa berdepan wajah-wajah sugul dan kisah sedih ahli keluarga jenazah yang menggunakan perkhidmatannya hampir setiap hari.

Antara paparan yang pernah dimuat naik Yunizam di Facebook sehingga menjadi viral adalah mengenai kisah seorang bapa yang baru kematian bayi akibat jangkitan kuman pada paru-­paru.

Menceritakan detik sedih itu, Yunizam berkata, sepanjang lima jam berada di dalam van jenazah­nya dari Sandakan ke Telupid, lelaki yang bekerja sebagai buruh itu sekalipun tidak pernah melepaskan pelukan ke atas jasad bayinya.

“Saya tidak sanggup melihat situasi itu. Dia tidak pernah melepaskan pelukan dan sentiasa mencium dahi bayinya.

“Mereka adalah keluarga yang sangat miskin dan bayi itu adalah bayi sulungnya. Apa lagi ke­sedihan yang lebih berat dari­pada ini,” katanya.

Baru-baru ini, Yunizam turut diuji apabila van jenazah yang dikendalikannya mengalami kerosakan di tengah jalan pada waktu malam Jumaat.

Bagaimanapun, pemuda berhati mulia yang berkhidmat secara percuma ini tetap bersyu­kur apabila jenazah telah selamat dihantar sebelum kerosakkan berlaku.

Tanpa kita sedari, apa yang dilakukan pemuda ini mungkin kecil bagi pihak lain, tetapi bagi warga Sandakan, Beluran dan Telupid, kehadiran van jenazah Abam Botak adalah rahmat buat mereka.

Ironinya, hampir 99 peratus mereka yang menggunakan perkhidmatan van jenazah ini adalah waris yang tinggal jauh di pedalaman yang memerlukan berjam-jam perjalanan.

Bukan setakat menghantar jenazah secara percuma, Yusnizam dan beberapa rakannya turut akan membawa sama ke­perluan mengurus jenazah dan pelbagai barangan dapur untuk waris si mati.

Persoalannya, dari manakah pemuda ini mendapat perbelanjaan untuk menguruskan perkhid­matan sedangkan kehidupannya juga cukup sederhana.

27 Julai lalu, Yusnizam menerusi satu status di Facebook­nya ada memberikan jawapan.

“Pahala wakaf kalian (netizen) sedang mengalir.

“Van jenazah abam botak, wakaf untuk Sandakan,” tulisnya.

Benar kata-kata orang bijak pandai, kesusahan itu akan membuatkan kita semakin mudah untuk mencari pahala.

Semoga kita semua menjadi insan berhati mulia.

 

KOSMORAMA Oleh MARO