Sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok, SK Tanjung Puteri Resort, SK Taman Scientex, SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4, SK Taman Bukit Dahlia, SK Taman Megah Ria, SK Taman Pasir Putih, SK Taman Rinting 3, SK Pasir Gudang 1, SK Pasir Gudang 3 dan SK Kota Masai 3.

Semua sekolah tersebut terletak kira-kira lima kilometer radius dari kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar berkata, pemberian cuti bermula 4 hingga 11 September itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya berlaku lagi insiden yang tidak diingini.

"Bermakna sepanjang tempoh itu, cuma hanya ada 2,175 calon UPSR sahaja di sekolah, tidak akan ada murid lain dari darjah lain.

"Selain itu, kita menggalakkan pihak sekolah supaya menempatkan calon UPSR di tingkat satu dan dua bangunan sekolah kerana kita sudah dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kesedaran mengenai Pengetahuan Keselamatan Diri di Pasir Gudang di SK Taman Megah Ria hari ini.

Jasni berkata, pihaknya juga mendapat jaminan daripada pelbagai agensi termasuk JAS dan Jabatan Kesihatan untuk membantu sekolah membuat persiapan yang perlu sepanjang tempoh peperiksaan itu.

"Untuk peperiksaan seterusnya, kita merancang melakukan usaha yang sama iaitu ketika berlangsungnya peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang hadir melancarkan kempen itu berkata, dengan kesiapsiagaan yang dilakukan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang itu, beliau berharap ibu bapa akan lebih yakin menghantar anak mereka untuk menduduki peperiksaan.

Selain itu, pihak Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Ihsan Johor dan syarikat 3M Sdn. Bhd. juga akan mengedarkan 1,000 unit topeng muka jenis model 9042 yang mengandungi activated carbon yang boleh meneutralkan bau kepada calon-calon UPSR yang terlibat. - Bernama