Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar Kedah, Ooi Tze Min berkata, pesalah akan terus dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihadapkan ke mahkamah tanpa diberikan sebarang notis amaran terlebih dahulu. 

"Kita terpaksa mengambil tindakan tegas kerana isu pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka dari tapak pelupusan haram ini semakin membimbangkan sejak dua bulan lalu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mengenai isu pembakaran terbuka dari tapak pelupusan sampah haram di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sungai Petani di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Cawangan JAS Sungai Petani, Azlina Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee.

Kata beliau, siasatan yang dilakukan agensi berkaitan seperti JAS, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) mengesan sebanyak 22 lokasi tapak pelupusan sampah haram di daerah tersebut.

"Antara lokasinya adalah di berhampiran Taman Perbandaran di Sungai Tukang, Taman Kempas, di bawah talian elektrik Tenaga Nasional Bhd. di Taman Pekan Baru, Pulau Tiga dan Padang Temusu," ujarnya.-K! ONLINE