Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Eh­wal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, kilang itu juga berkemungkinan dipindahkan ke kawasan perindustrian lain sekiranya hasil siasatan mendapati pencemaran itu dilakukan oleh kilang berkenaan.

Katanya, beberapa agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dipertanggungjawan melakukan kajian tersebut. 

"Ini meliputi dari segi kajian sampel darah termasuk pekerja kilang dan penduduk sekitar kilang itu bagi menentukan punca pencemaran asid dan plumbum. 

"Justeru, kerajaan negeri telah mengarahkan operasi kilang itu dihentikan sementara menunggu siasatan dan keputusan muktamad berhubungnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, kilang itu mula beroperasi pada 2014 dalam aktiviti pengisian asid sebelum bangunan itu musnah dalam kebakaran pada Disember 2017 serta dibenarkan beroperasi semula pada September tahun lalu. 

Hoy Sian menegaskan kilang tersebut pernah dikenakan tindakan atas empat kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selain enam kompaun berjumlah RM12,000 susulan ketidakpatuhan terhadap pengurusan buangan terjadual di bawah akta sama. 

"Justeru itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong diminta berhenti mempermainkan isu kilang ini bagi meraih sokongan politik murahan dan kepentingan diri sendiri.

"Ka Siong tidak seharusnya hanya mengambil pandangan dan kajian daripada pihak persatuan penduduk (di kawasan itu) dan bekas pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Maketab Mohamed tanpa merujuk hasil kajian agensi terlibat sebelum membuat tuduhan melalui laman sosial," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Ka Siong dipetik berkata, Pakatan Harapan bukan juara alam sekitar sebaliknya ia mengkhianati rakyat dalam isu pencemaran kilang itu di Jenjarom. - K! ONLINE