Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau telah memberi amaran kepada pengusaha kilang untuk mengambil langkah segera memperbaiki masalah berkenaan jika mahu meneruskan operasi atau mereka bakal berdepan dengan tindakan lebih tegas.

"Dalam lawatan sebelum ini, saya dapati paras ammonia di Sungai Sayong masih tinggi, saya tidak mahu najis tersebut masuk semula ke sungai dan berlaku pencemaran sehingga menjejaskan bekalan air kepada penduduk setempat.

"Tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh lawatan saya ke kilang terbabit pada 29 Januari lalu, saya dimaklumkan mereka akan membeli mesin teknologi pengeringan najis dari Taiwan dan pihak kementerian mahu melihat mereka menggunakan pakai teknologi tersebut dan kesannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mensyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) 2018.

Menurut Wan Junaidi, arahan itu dikeluarkan berikutan bahan buangan dari kilang itu telah menjadi punca pencemaran kepada empat Loji Rawatan Air (LRA) di Johor dengan satu daripada loji itu membekalkan air ke Singapura dan tiga lagi membekalkan air kepada lebih 60,000 akaun pengguna di Johor.

Tambah beliau, sekiranya pengusaha kilang tersebut gagal berbuat demikian dalam tempoh, operasi kilang itu boleh ditutup oleh pihak kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, menyentuh mengenai mesyuarat tersebut, pihaknya bercadang untuk menggunakan pendekatan alternatif dengan membina tanah lembab buatan atau 'constructed wetland' bagi menangani isu pencemaran sumber air dalam tempoh jangka panjang

"Inisiatif itu mampu mentransformasi penggunaan konvesional rawatan sistem air kumbahan dari industri seperti perlombongan, makanan, pembuatan logam dan kumbahan domestik kepada penggunaan kaedah teknologi kejuteraan bioteknologi iaitu secara constructed wetland.

"Selain itu, dalam mesyuarat ini juga mengesyorkan supaya kerajaan-kerajaan negeri mewartakan kawasan kelip-kelip yang mempunyai tarikan ekopelancongan bertujuan membantu mengekalkan kelestarian populasi kelip-kelip, memenuhi keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biodiversiti di habitat semula jadi kelip-kelip," katanya. - K! ONLINE