Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, semangat patriotik itu wajar ditonjol sesuai dengan kebangkitan semangat rakyat melalui Malaysia baharu pimpinan kerajaan Pakatan Harapan. 

"Kita berharap masyarakat akan menzahirkan semangat patriotik mereka dengan  membeli sendiri jalur gemilang dan mengibarkannya sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini sebagai tanda, kita kini dalam era baharu dan menyokong pentadbiran kerajaan baharu," katanya.

Beliau turut berharap premis perniagaan dan pasar raya khususnya akan menyediakan ruang khas untuk menjual barangan bagi sambutan hari tersebut, selain memasang lagu-lagu patriotik dan menghias premis dengan Jalur Gemilang dalam usaha mewujudkan semangat dalam dalam kalangan pengunjung.

Beliau ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengamal media untuk pencambahan idea bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 di sini hari ini.

Ibrahim berkata semua pengamal media massa terlibat memberi maklum balas baik bagi membantu mempromosi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 melalui platform masing-masing. 

Dalam pada itu, beliau berkata memandangkan Hari Kebangsaan akan jatuh pada hari Jumaat, maka tiada konsert atau sambutan Ambang Kemerdekaan pada Khamis malam bagi menghormati kesucian malam Jumaat.

"Sambutan itu, bagaimanapun akan diadakan pada sebelah malam hari Jumaat," katanya.

Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku', pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya telah dipilih sebagai lokasi sambutan pada 31 Ogos nanti bagi meraikan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Bernama