Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, persiapan majlis yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan lancar dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebanyak 25 ruang pameran disediakan sepanjang program selama tiga hari itu bagi memudahkan maklumat dan informasi mengenai program serta inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.

"Saya telah meninjau persiapan dan mendapatkan maklumat perjalanan program yang bakal berlangsung terutama acara kemuncak malam perasmian. Melaka telah bersedia menjadi tuan rumah dan menjayakan acara pada kali ini.

"Pemilihan Melaka kerana sejarah negeri dan Malaysia bermula di sini. Ia amat penting dalam menerapkan semangat kemerdekaan kepada generasi muda terutamanya dalam era Malaysia Baharu, iaitu bukan kita melupakan sejarah tetapi Malaysia Baharu ialah kita menjiwai sejarah itu," katanya ketika ditemui Bernama selepas meninjau persiapan di sini, lewat malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd. Rizal Hashim.

Pelbagai acara menarik dirancang bermula hari ini sehingga 4 Ogos dengan pelbagai aktiviti termasuk program keagamaan, Konvoi Kembara Jalur Gemilang, pameran 'Caring Bridge', karnival trak makanan dan jualan My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Raptai pelancaran dijadual berlangsung 8 malam ini dan setakat ini beberapa khemah seperti khemah VIP, VVIP dan pentas persembahan telah siap dipasang.

Pagi esok program dimulakan dengan Larian Merdeka dan senamrobik manakala Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 diadakan pada sebelah malam diikuti dengan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, serta konsert 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' yang menampilkan persembahan artis-artis tanah air serta pertunjukan bunga api. - Bernama