Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, khidmat bas tersebut amat diperlukan oleh penduduk sekitar seperti sebelum ini, namun untuk melaksanakannya memerlukan kos yang agak besar.

"Dulu kalau tak silap saya, kewangan Kemaman Shuttle daripada kerajaan pusat... jadi setakat ini kalau saya tengok pada kewangan negeri, saya rasa kemampuannya tidak sampai lagi.

"Bagaimanapun, kami mengharapkan dapat bekerjasama dengan harapan kerajaan pusat akan memberi duit royalti minyak kepada kami... Insya-Allah, kalau dapat duit itu, (khidmat) bas 'shuttle' akan diteruskan dan barangkali akan diperluaskan di seluruh Terengganu," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan kakitangan EPIC Bersama Anak Yatim dan Miskin 2018 di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di sini malam tadi.

Menurut Hanafiah, jika kerajaan negeri mendapat royalti minyak, pelbagai perkara dapat dilakukan kepada rakyat dan negeri Terengganu.

Sementara itu, mengulas mengenai portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah berkata, beliau ingin memastikan peruntukan dapat disampaikan kepada golongan fakir miskin dan mereka yang terlibat dalam bencana.

"Contohnya kebakaran, dulu kerajaan mengambil masa sembilan hingga 10 bulan untuk mendirikan (semula) rumah tetapi saya telah panggil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) supaya mempercepatkan proses ini.

"Dahulu kena panggil tiga tender untuk sebut harga, yang ini saya minta supaya buat pengecualian. Maknanya, JKM dan Pejabat Daerah akan tentukan terus siapa kontraktor dan terus mendirikan rumah, dengan harapan dalam masa tiga atau empat bulan rumah tersebut boleh siap.

"Projek ini, saya telah cuba di Kuala Terengganu iaitu rumah yang terlibat dalam kebakaran minggu lepas di Kampung Losong Haji Mat Shafie dan saya mengharapkan sebelum Aidilfitri ini rumah tersebut akan siap," katanya. - Bernama