Jemaah yang turut berada ketika kejadian itu merangkap bekas pelajarnya, Hassan Mustafa Afifuddin, 30, ketika dihubungi Bernama berkata, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu rebah semasa membaca khutbah awal kira-kira 1.30 tengah hari ini.

"Waktu itu saya dengar sekali khutbah disampaikan ustaz, sebelum ustaz rebah dan jatuh terlentang atas tempat khutbah. Kemudian jemaah lain ambil ustaz dari mimbar dan ada beberapa jemaah yang kerja sebagai doktor memberikan bantuan rawatan awal seperti CPR (bantuan pernafasan) dan cek nadi di leher ustaz, manakala saya pula menghubungi ambulans," katanya.

Hassan berkata, selepas itu dia pergi mengambil isteri Allahyarham di rumah mereka untuk membawanya ke hospital berkenaan sejurus mendapat panggilan daripada isteri Ku Yaacob.

"Saya pergi ambil ustazah sebab saya dihubungi ustazah. Saya tanya ustazah dapat mana nombor saya, ustazah ambil dalam telefon ustaz yang ketika itu ditinggal di rumah, dan ustazah tergerak hati untuk menelefon saya," katanya. - Bernama