Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, prospek TH yang cerah, tadbir urus lebih baik, tiada lagi aset kurang berdaya saing, serta jaminan kerajaan merupakan antara faktor-faktor yang menyokong keyakinan pendeposit untuk terus kekal melabur dalam TH.

Selain itu, katanya, kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermula pada tahun ini bagi menambah baik tadbir urus organisasi itu juga di lihat berjaya mendorong pendeposit untuk terus kekal bersama TH di samping dapat menarik minat pendeposit baru.

"Kita mahu meningkatkan tadbir urus dan menerapkan amalan terbaik yang dicadangkan oleh Bank Negara terutamanya dalam bahagian pengurusan risiko dan tadbir urus.

"Semuanya dalam keadaan stabil dan tiada pengeluaran luar biasa. Situasi yang buruk telah berakhir," katanya kepada Bernama semasa lawatan beliau ke ibu pejabat pertubuhan berita nasional itu, baru-baru ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, TH mencatatkan jurang defisit (jumlah tanggungan melebihi jumlah aset) yang tinggi sebanyak RM10.9 bilion, meningkat dari RM4.1 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2017.

Dalam usaha mengembalikan kedudukan kewangan yang lebih seimbang, TH telah menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah) yang mempunyai jumlah nilai semasa RM9.7 bilion.

Aset-aset tersebut telah di pindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd., pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun). – Bernama