Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini Perak menerima kehadiran kira-kira tujuh juta orang setahun dan angka ini turut menyumbang kepada ekonomi negeri.

Bagaimanapun kata beliau, banyak lagi usaha perlu dilakukan termasuk menggiatkan promosi menerusi kerjasama strategik dengan pihak-pihak tertentu selain media massa.

“Kita dapati ramai dalam kalangan pelancong domestik khususnya datang ke Ipoh untuk makan. Seperti diketahui Ipoh mempunyai pelbagai tempat-tempat makan menarik yang tiada di negeri lain.

“Justeru kita perlu fikirkan cara bagaimana untuk membuatkan mereka ini bermalam di Ipoh seterusnya berbelanja di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Makan Malam Kembara Media Perak  2019 anjuran Jabatan Penerangan di taman teman Lost World of Tambun di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Bertemakan ‘Moh Ke Perak’, program kembara selama empat hari itu disertai seramai 29 petugas media daripada pelbagai agensi.

Peserta akan dibawa melawat dan bermalam di beberapa tempat pelancongan menarik seperti ke Kuala Kangsar, Hutan Simpan Royal Belum, Taiping dan Kuala Sepetang.

Menurut Ahmad Faizal lagi, fokus pihaknya ketika ini ialah untuk mempromosikan lokasi pelancongan di bandar Ipoh terlebih dahulu sesuai dengan statusnya sebagai gerbang masuk ke negeri ini.

“Kita meletakkan Ipoh sebagai destinasi utama kerana dari sini pengunjung boleh pergi ke daerah-daerah lain misalnya ke Teluk Intan, Lumut atau Gerik mengikut citarasa percutian masing-masing,” ujarnya. - K! ONLINE