Pada mulanya saya meng­anggap ia sebagai gurauan, tetapi benar kata gadis yang berpengalaman itu, kerana  saya telah melewati pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang seminggu berada di sana.

Saya mengakui bahawa untuk berkunjung ke mana-­mana wilayah di India sememangnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal untuk berdepan dengan pelbagai aktiviti harian di sana.

Suasana hiruk-pikuk, sistem jalan raya, komunikasi dengan penduduk tempatan, persekitaran berdebu, pembayaran tip yang melampau dan juga tahap kebersihan di kawasan umum merupakan sebahagian daripada kena­ngan yang saya bawa balik ke Malaysia.

Kashmir yang terletak di bahagian Utara India memiliki sejarah konfliknya yang tersendiri, namun itu bukan menjadi penghalang kepada pelancong untuk menjejaki wilayah tersebut.

Di situ tersimpan pelbagai khazanah keunikannya tersendiri daripada aspek keindahan alam semula jadi yang cukup memukau teru­tama apabila tiba musim bunga.

Gunung-ganangnya masih diseliputi salji, cuaca sejuk pada kadar 10 hingga 15 darjah Celsius, kaya dengan flora dan fauna serta tanaman buah-buahan, sayur-sayuran segar seluas pandangan mata.

Apabila tiba musim bunga, Indira Ghandi Memorial Tulip Garden yang terletak di Srinagar, ibu kota Kashmir akan menjadi tumpuan ribuan pe­ngunjung dari seluruh negara untuk melihatkan kecantikan tumbuh-tumbuhan itu yang hanya berbunga dalam tempoh sebulan khususnya pada bulan April.

Itulah kekuatan Kashmir, saya juga terpengaruh untuk menjejakkan kaki ke situ semata-mata untuk menawan taman seluas 30 hektar yang merupakan taman terbesar di Asia.

Ia memiliki kira-kira 26  jenis bunga tulip yang sedang berkembang dalam kadar 75 peratus.

Pemandangan taman yang terletak di kaki bukit Zabarwan itu cukup mengujakan, meskipun ada yang menyifatkan kecantikan taman ini hanya suku daripada kecantikan yang boleh dinikmati di taman tulip di Keukenhof, Netherlands.

Namun memadailah untuk sampai di taman yang berusia 10 tahun itu bagi mereka yang kekurangan bajet.

Selain bunga tulip, pelancong pasti berkunjung ke destinasi popular seperti di Sonamarg dan Gulmark yang mana ia menawarkan pe­ngalaman bermain salji serta mencuba aktiviti lasak seperti meluncur salji selain menaiki snow mobile.

Lebih mencabar ialah akti­viti menunggang kuda selama lebih tiga jam di Pahalgam dengan mendaki bukit, meredah sungai di tepi air terjun, jalan hutan berbatu bata, menuruni lurah yang curam sambil singgah beberapa kampung dengan menikmati pemandangan ciptaan Allah yang begitu mendamaikan.

Bayaran untuk merasai pengalaman daripada aktiviti mencabar itu tidak mahal tetapi pelancong seperti dipaksa untuk membayar tip kepada penduduk tempatan yang membantu mereka.

Mekipun berdepan de­ngan pengalaman mencabar itu, saya berkesempatan ber­kenalan dengan penduduk tempatan yang terlibat secara langsung dalam membantu melancarkan jadual percutian kami di Kashmir iaitu Yousuf, Imran dan Guljar.

Anak tempatan Kashmir ini berjiwa murni dan rajin membantu pelanggan serta sen­tiasa tersenyum tatkala disapa pelancong.
Uniknya, mereka boleh berbahasa Inggeris hasil daripada pengalaman berkomunikasi dengan pelancong.

Meskipun gaji bulanan mereka kecil tetapi bayaran tip daripada pelanggan merupakan satu bonus buat me­reka untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi membantu serta mengubah kehidupan keluarga di kampung.

“Are you happy mem, you must give good tip,” soal Guljar dengan wajah yang terse­nyum kepada kami ketika mahu berangkat pulang ke tanah air sebelum tip bernilai ratusan rupee bertukar tangan.