Ada yang menjual aiskrim, makanan atau minuman ringan, khidmat menyewa pakaian penari Arab Mesir untuk merakam foto, cenderamata dan banyak lagi. Dalam kalangan penjual itu, gelagat seorang kanak-kanak lelaki yang menjual belon dikenali sebagai Umar begitu menarik perhatian penulis. Penampilannya ringkas tetapi kemas. Berseluar slack, berbaju T dan berjaket, Umar, barangkali berumur dalam lingkungan 9 tahun.

Tidak seperti sesetengah peniaga di Kaherah yang gemar memaksa dan mengikut pelancong hingga naik ke dalam bas supaya membeli barangan mereka, Umar sedikit pun tidak mengganggu sesiapa. Sambil meme­gang sejambak belon berwarna kuning, dia sesekali menyusup dan berjalan di celah-celah orang ramai dengan harapan ada yang sudi membeli barangnya. Dia tidak putus asa walau jualan belonnya pada hari itu kurang mendapat sambutan.

Sempat merakam gelagat dan riak wajahnya yang kelat akibat kepenatan kerana hari semakin lewat petang, Umar menyedari dirinya diperhatikan.

Tiba-tiba riak wajahnya bertukar ceria. Umar melempar senyuman lalu membiarkan dirinya menjadi subjek fotografi. Sebagai tanda terima kasih, penulis menitipkan sedikit wang kepadanya kerana sudi menjadi subjek rakaman.

Lalu, tanpa disangka Umar terus menyerahkan sebiji belon. Dia sangat berharap penulis mengambil belon tersebut kerana padanya bayaran sudah dibuat. Penulis menolak dengan mengatakan penulis sekadar mahu merakam fotonya.

Dia kemudian menyerahkan kesemua belon di tangannya. Kali ini, dia mahu penulis sendiri yang memegang belon tersebut dan mengambil gambar lagi. Sekali lagi Umar memujuk penulis supaya mengambil sebiji belonnya akibat rasa bersalah kerana telah mengambil wang daripada penulis. Subhanallah, anak kecil ini begitu jujur. Kejujuran yang dimilikinya sangat luar biasa. Baginya setelah bayaran dibuat, barang perlu diserahkan kepada pemiliknya.

Umar tidak seperti segelintir peniaga yang ditemui di Mesir. Menerima wang bayaran tetapi menafikan sudah menerimanya. Lebih menjengkelkan, ada yang beranggapan orang asing boleh ditipu sesuka hati, tidak tahu mengira mata wang mereka serta enggan memulangkan wang baki yang sepatutnya jika tidak diminta.

Tidak kurang ada yang peramah dan ringan tulang, menawarkan servis dengan bayaran tertentu, tetapi ada muslihat tersembunyi lalu menghilangkan diri. Menjadi peniaga yang jujur adalah nilai yang kian pupus pada hari ini.

Sebetulnya, perangai buruk segelintir peniaga di Mesir wujud di mana-mana pun di dunia ini. Menipu, memanipulasi dan menindas pihak yang satu lagi dalam urus niaga sudah menjadi amalan.

Sebab itulah Allah menegur dalam surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud: “Wahai mereka yang beriman janganlah kamu makan harta antara kamu secara batil melainkan melalui perniagaan yang berlaku secara rela hati dalam kalangan kamu.” Dalam Islam, berniaga adalah satu pekerjaan mulia. Ia merupakan lubuk rezeki yang mendatangkan keuntungan luar biasa kepada mereka yang rajin berusaha. Mereka yang menceburi dunia perniagaan dianggap telah menyempurnakan fardu kifayah dan menghidupkan sunah Rasulullah SAW.

Jika diperhalusi, mereka yang dinobat sebagai jutawan rata-rata bermula dengan berniaga yang akhirnya melahirkan empayar hebat. Hatta, masyarakat Cina sendiri mempercayai bahawa mereka yang menceburi bidang perniagaan mempunyai sosial strata lebih tinggi berbanding kelompok yang makan gaji.

Ya, tidak siapa yang ingin rugi dalam berniaga. Melalui kejujuranlah maka ia mendatangkan keberkatan.

Umar bukan saja berjaya me­madamkan persepsi buruk penulis bahawa bukan semua rakyat Mesir suka mengambil kesempatan ke atas orang asing apatah lagi pelancong. Paling penting, kita semua berharap bertemu dengan ramai peniaga yang jujur seperti Umar.