Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pihaknya mengemukakan surat tunjuk sebab kepada ketua pengarah itu pada 14 Julai lalu.

"Beliau diminta menjawab surat tunjuk sebab dengan membuat sebarang jawapan kepada pertuduhan yang dihadapinya dalam tempoh dua minggu.

"Pada masa ini, kita masih menunggu jawapan atau apa sahaja maklum balas daripada ketua pengarah dan ia dilakukan berdasarkan prosedur keadilan yang biasa," katanya selepas melancarkan produk baharu Ar-Rahnu YaPEIM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan status ketua pengarah YaPEIM yang digantung tugas mulai 21 Mei lalu.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa kononnya Abibullah mempengaruhi 
kakitangan YaPEIM pada pilihan raya umum lepas.

Menurut Mohd. Daud, Abibullah juga boleh membawa saksi untuk mempertahankan dirinya.

"Kita beri peluang kepada ketua pengarah untuk menjawab dan selepas itu kita akan lihat sama ada perlu dilaksanakan siasatan dalaman atau tidak," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat daripada aspek undang-undang selain Abibullah yang akan mencapai umur persaraan pada Oktober depan.

Tambahnya, pihaknya akan memastikan YaPEIM terus memiliki reputasi yang baik dan bebas daripada sebarang salah laku tugas selepas ini. - K! ONLINE