Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, tidak timbul isu 'tidak selamat' apabila Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu kerana pelantikan beliau dibuat berdasarkan kelayakan dan dari sudut kekananan dalam perkhidmatan. 

Cadangan yang dikemukakan kerajaan untuk melantik Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara  juga mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V), katanya.

"Baginda tidak akan memperkenan sesuatu yang bercanggah dan merosakkan agama sedangkan  Baginda adalah pelindung agama Islam," katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.

Mujahid melihat bantahan sesetengah pihak terhadap pelantikan jawatan Ketua Hakim itu sebagai kenyataan politik yang mahu merendahkan imej kerajan Pakatan Harapan bahawa seolah-olah Islam sudah tidak dijaga di bawah kepimpinan mereka.

Malanjum, 65, berasal dari Tuaran, Sabah menjadi orang pertama dari negeri-negeri Borneo menyandang jawatan tertinggi itu dalam  bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai lepas.

Dalam pada itu, Mujahid berkata kewujudan Kompleks Nasyrul Quran sebagai kilang cetak al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah adalah satu keunikan perlu dibanggakan kerana Malaysia mampu menghasilkan naskhah kitab suci dengan keupayaan tersendiri.

Katanya kompleks itu secara tidak langsung dapat menjadikan Malaysia sebagai negara contoh kepada dunia dalam menghasilkan al-Quran yang bermutu tinggi.

"Jika sebelum ini, kita sering melihat naskhah al-Quran versi Timur Tengah, tetapi kita telah berjaya menghasilkan naskhah dengan versi Malaysia," katanya. - Bernama