Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Tan Yew Chong berkata, kementerian itu juga menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan pembetungan bersambung kepada 85 peratus berbanding 78.7 peratus pada masa ini selain mengurangkan air bukan hasil kepada 31 peratus berbanding 34.6 peratus.

"Lebih RM1.12 bilion diperuntukkan untuk membangunkan projek-projek air dan air buangan dalam tempoh sasaran lima tahun yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-11. Ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha memperkukuh infrastruktur bagi menyokong perluasan ekonomi," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Trenchless Asia 2018, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara kaedah bagi mencapai sasaran itu ialah dengan mengguna pakai teknologi 'trenchless' (pemulihan), seperti yang dilaksanakan dalam projek Sistem Loji Rawatan Kumbangan Serantau di Ipoh, Perak.

Projek itu yang secara keseluruhannya bernilai  RM2.12 bilion dan dijangkakan siap pada 2022 akan menggabungkan 80 peratus teknologi itu menggunakan kaedah pemasangan lengkong yang boleh meminimumkan halangan lalu lintas dengan pembinaan lubang, minimumkan kerosakan kepada perabot jalan sedia ada serta mengurangkan aduan awam.

"Kami menggalakkan peserta industri di negara ini memanfaatkan pameran dan persidangan Trenchless Asia 2018 dan memanfaatkan peluang untuk memperluaskan aplikasi teknologi ini kerana kaedahnya mampan, memacu teknologi hijau, mengurangkan pencemaran dan boleh menjimatkan sehingga 50 peratus masa pembinaan," kata Tan.

Beliau berkata, bagi menerajui penggunaan teknologi 'trenchless', sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan diketuai oleh Indah Water Consortium bagi merangka penubuhan piagam Malaysia yang menggariskan program pembinaan kapasiti dan latihan antara Malaysia dan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman.

Acara ini membantu beberapa bandar di seluruh dunia untuk menggalakkan teknologi tiada penggorekkan bagi mengganti atau membaiki paip bawah tanah.

Teknologi  'trenchless' membabitkan kerja pembinaan bawah tanah yang memerlukan sedikit parit atau tanpa parti yang panjang. - Bernama