Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyatuan itu memerlukan iltizam dan komitmen semua ahli parti itu bagi memastikan gabungan UMNO dan Pas serta rakan komponen BN lain mampu merampas semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

"Kita telah bertunang dengan Pas. Sifat orang bertunang ini banyak ujian dan darah juga manis. 

"Oleh sebab itu, UMNO dan Pas harus menjaga antara satu sama lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini. 

Ahmad Zahid menegaskan semua pihak perlu bermuhasabah agar kerjasama dan penyatuan politik yang dijalin antara UMNO dan Pas nanti memberikan kebaikan kedua-kedua pihak. 

"Alangkah baiknya kalau rumahtangga UMNO dan Pas ini aman damai. Tidak berbeza pendapat dan kalau berbeza sekali pun, cepat-cepat cari jalan penyelesaian," katanya. 

Beliau menjelasjan, UMNO meraikan perbezaan pendapat namun tidak mahu melihat wujudnya puak-puak dalam kalangan pemimpin dan ahli parti itu. 

"Kita perlu perkukuhkan ukhwah bukan hanya antara kita pemimpin dan ahli UMNO sebaliknya meningkatkan kerjasama bersama Pas dan rakan-rakan komponen BN yang lain," katanya. - K! ONLINE