Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, program tersebut merupakan antara keutamaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi meningkatkan tahap pendidikan golongan sasar terbabit dan ia dilaksanakan secara percuma.

Beliau berkata, Ketengah telah melaksanakan Program Tuisyen Rakyat @ KKLW ini sejak tahun 2016 dengan melibatkan 29 pusat tuisyen di tiga parlimen iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

"Melalui program ini, kita sediakan kemudahan kelas bimbingan percuma kepada pelajar luar bandar di 32 buah sekolah terlibat untuk mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik mereka.

"Impaknya kita dapat melihat peningkatan peratusan Lulus Semua Mata Pelajaran di samping peningkatan para pelajar yang memperolehi keputusan Gred A dalam mata pelajaran teras dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran program Tuisyen Rakyat @ KKLW peringkat Parlimen Hulu Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Dr. Ghazali Taib di Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, Ajil di sini. - K! ONLINE