Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, seramai 111 pekerja dari Ladang Ketengah Jaya dan 66 lagi dari Ladang Ketengah Perwira dekat sini menerima agihan bantuan sebanyak RM500.

"Sumbangan ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat Ketengah bagi membantu para pekerja yang sedang dalam kesusahan akibat bencana tersebut.

"Diharap bantuan ini mampu meringankan sedikit bebanan yang ditanggung pekerja selain menghargai jasa mereka yang berkhidmat dengan Ketengah," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pekerja warga Indonesia di Ladang Ketengah Jaya, Bandar Seri Bandi di sini semalam.

Jelas Omar, setiap pekerja dilihat masih bersemangat menjalankan tugas meskipun tahu mengenai keadaan kediaman mereka yang telah musnah akibat bencana tempoh hari.

Siri gempa bumi yang menggegarkan Pulau Lombok di Indonesia membunuh seramai 555 orang dan mencederakan hampir 1,500 lain manakala beratus-ratus ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Pulau yang terletak berdekatan destinasi percutian popular, Bali itu digegarkan dua gempa dahsyat pada 29 Julai dan 5 Ogos lalu. - K! ONLINE