Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong ketika ditemui selepas sebutan permohonan untuk mendapatkan pasport di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi. 

Kitson berkata, sepatutnya bekas Timbalan Perdana Menteri menunaikan umrah pada 17 Januari ini namun tidak dapat berbuat demikian kerana pasportnya berada pada mahkamah. 

"Pihak pembelaan baru memfailkan permohonan untuk mendapatkan pasport itu pada 8 Januari (Selasa) namun ia dibantah oleh pihak pendakwaan kerana mereka menyifatkan permohonan itu lewat," kata Kitson. 

Kitson memberitahu permohonan untuk pasport adalah penting untuk anak guamnya mendapatkan visa. 

Ujarnya, disebabkan kesuntukan masa, anak guamnya mengambil keputusan menangguhkan umrah tersebut apabila hakim turut memberitahu tempoh mendapatkan visa sebelum 17 Januari adalah suntuk. 

Tambahnya, atas sebab itu kedua-dua belah pihak bersetuju untuk permohonan mendapatkan pasport itu ditarik balik dan satu permohonan baharu akan dibuat berhubung perkara sama nanti. 

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Lee Keng Fatt. - K! ONLINE