Ternyata, pengorbanan penerima Anugerah Diraja Yayasan Tuanku Syed Putra 2018 sempena Majlis Konvokesyen ke-12 PTSS , Tan Zhi Yao, 23, berbaloi apabila kini bekerja sebagai eksekutif jualan di Hotel Le Meridien, Phuket, Thailand sebaik sahaja menamatkan pengajian pada tahun lalu.

"Saya banyak mengadaptasi ilmu bidang akauntan semasa bekerja di Thailand selain melakukan tugas hakiki mencari pelanggan hotel pada musim-musim tertentu khususnya dari China.

"Saya ingin menimba pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang sama atau perguruan.

"Universiti pilihan saya ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Harumanis, PTSS, Pauh Putra di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir untuk menganugerahkan pingat dan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada Zhi Yao pada majlis konvokesyen itu.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Zhi Yao turut ditemani ibunya, Saruda Ekachaiwitwatkul, 54, dan bapanya, Tan Kim Sent, 56, pada majlis itu. - K! ONLINE