Dalam keadaan usia yang masih hijau, dia yang mesra dipanggil Mamat dalam kalangan ahli keluarga menunjukkan komitmen tinggi untuk menghabiskan puasa.

Walaupun Mamat belum tahu mengapa umat Islam diwajibkan berpuasa, namun dia tetap meneruskan ibadat Rukun Islam ketiga itu.

Usai berbuka kelmarin, Mamat bertanya: “Berapa kali lagi puasa?”

Bagi kanak-kanak sebesar Mamat, berapa kali itu bermaksud berapa hari lagi kita perlu berpuasa. Penulis mengukir senyuman dengan keletah Mamat.

Walau tidak pernah dipaksa, Mamat tetap mahu menghabiskan puasanya setiap hari.

Pernah juga penulis bertanya mengapa dia berpuasa dan jawapannya, jika tidak puasa tidak dapat duit raya. Jawapan jujur kanak-kanak itu benar-benar mengundang usikan berterusan daripada kami yang sudah ketawa besar.

Pernah penulis menerangkan kepada Mamat sebab kita berpuasa tetapi lebih banyak pula persoalan yang keluar daripada mulut si kecil itu menyebabkan akhirnya penulis menerangkan serba ringkas sahaja. Sudah tentu, semakin meniti usia kelak, Mamat faham mengapa kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan.

Mengenai Mamat, dia bersahur hanya dengan roti dan air milo. Berbuka puasa pula, cukup dengan mi segera dan donat kerana Mamat tidak mahu makan nasi.

Setiap kali penulis datang bertandang, Mamat cukup gembira apabila dapat bermain bunga api. Kata Mamat, seronok lihat percikan api namun dia tidak berani bermain jika tidak ada orang tua di kawasan sekeliling. Celoteh Mamat sambil membetulkan cermin matanya yang selalu kelabu itu membuatkan kehadirannya dirasai.

Ya, Mamat sudah memakai cermin mata sejak tahun lalu dan ia disebabkan oleh keasyikannya bermain gajet.

Apabila bermain bunga api, Mamat melupakan seketika telefon pintarnya. Dia membakar bunga api dan kemudian menyanyi lagu Selamat Hari Raya bersama adik perempuan serta sepupunya yang lebih kurang sebaya.

Itulah keseronokan Ramadan dan menjelang lebaran. Selain membeli baju baharu, aktiviti seperti bermain bunga api juga biasanya kerap dilakukan di bulan ini.

Namun, melihat beberapa insiden kanak-kanak yang terpaksa beraya tanpa jari akibat bermain mercun mengundang rasa kesal serta kasihan. Kesal kerana keseronokan itu dicari secara berlebihan dan kasihan apabila usia yang masih panjang perlu dilalui dalam keadaan serba kekurangan akibat tindakan sendiri.

Penulis bermain bunga api dan turut membakar mercun roket ketika usia kecil tetapi aktiviti itu dilakukan dalam kalangan keluarga dan di bawah pengawasan orang tua, Alhamdulillah sehingga sekarang aktiviti itu masih diteruskan pada anak-anak saudara untuk mereka merasai keseronokan menyambut Aidilfitri. Semoga dalam tempoh kurang seminggu menjelang Syawal ini, kita tidak lagi disajikan dengan berita tragis akibat bermain mercun buatan sendiri dan salam Aidilfitri.