Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin berkata, anggota yang ditugaskan mengawal sempadan negara tidak seharusnya melihat jumlah rekod tangkapan dan rampasan sebagai kayu ukuran untuk mengukur kejayaan mereka ketika bertugas.

"Keutamaan ATM adalah untuk terus melindungi negara dan memastikan masyarakat mempunyai keyakinan menjalani kehidupan harian tanpa merasakan terdapat anasir serta elemen yang tidak diingini sehingga boleh mengganggu kehidupan harian.

"Walaupun kita dilatih untuk berperang, namun dalam keadaan aman ketika ini anggota ATM tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa lain membanteras kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama anggota ATM yang bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di Kem To' O, Rantau Panjang di sini, malam tadi.

Terdahulu, Azizan meninjau empat pos tentera di kawasan tersebut iaitu Pos Ular dan Pos Kuala Jambu di Tumpat serta Pos Ibrahim Pencen dan Pos Jeram Perdah di sini.

Beliau berkata, anggota ATM tidak seharusnya beranggapan mereka menjadi peneraju terhadap agensi keselamatan lain di sempadan kerana badan tersebut mempunyai kuasa terhad terhadap sesuatu perkara yang berlaku di kawasan sempadan.

"Kita membantu agensi-agensi penguat kuasa, jadi ketika melaksanakan tugas kita perlu tahu apa yang salah, yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat," katanya.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang Januari hingga Ahad lepas (10 Jun) anggotanya berjaya merampas pelbagai barangan yang dibawa masuk ke negara ini secara menyalahi undang-undang berjumlah RM143,578 dan menahan 13 pendatang asing tanpa izin.

Antara barangan yang dirampas termasuklah petrol, daun ketum dan mercun, katanya. - Bernama