Dalam ruangan kali ini, penulis ingin membawa pembaca melihat konteks kesabaran pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Tidak ada siapapun yang menjangkakan bekas penyerang United itu akan mengambil alih tugas tersebut selepas Jose Mourinho dipecat pada pertengahan Disember lalu.

Sebaik dilantik, Solskjaer mula mencipta lega­sinya di Old Trafford apabila memadam rekod yang dipegang Matt Busby sebelum ini dengan meraih sembilan kemenangan dan satu keputusan seri dalam 10 perlawanan di bawah kendaliannya.

Dalam satu wawancara, legenda United, Dwight Yorke telah ditanya mengenai pemilihan Solskjaer.

“Solskjaer sentiasa sedar bahawa dia tidak akan menjadi pilihan pertama dalam kalangan pe­nyerang di United ketika kami masih bergelar pemain.

“Saya tiba di Old Trafford ketika Teddy Sheringham dan Andy Cole sudah berada di situ untuk menjadi pilihan ketiga dan Solskjaer terus menjadi pilihan keempat pengurus.

“Sehinggakan terdapat khabar angin bahawa dia (Solskjaer) akan menyertai Tottenham Hotspur.

“Dia tidak pernah diletakkan sebagai pilihan pertama tetapi setiap kali peluang hadir, dia tidak pernah mempersiakannya,” katanya dalam satu temubual bersama akhbar The Sun UK.

Aksi Solskjaer paling diingati adalah ketika dia yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ketiga masa kecederaan untuk The Red Devils menjulang gelaran Liga Juara-Juara pada tahun 1999 menewaskan Bayern Munich 2-1.

“Saya tidak pernah bertemu pemain sepertinya. Kebiasaannya pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan hanya akan bermain untuk menantikan wisel penamat dibunyikan.

“Tetapi, Ole tidak seperti itu,” jelas Yorke.

Yorke memberitahu, Solskjaer tidak sekadar memanaskan bangku simpanan tetapi dia mengkaji permainan yang sedang berlangsung.

“Kalau anda bertanyakan saya, siapakah di dalam bilik persalinan yang saya akan pilih untuk menjadi pengurus United, Ole mungkin yang terakhir dalam senarai tersebut.

“Dia seorang yang pendiam tetapi dia telah membuktikan apa yang dilakukannya bersama United ketika ini sangat menakjubkan,” jelasnya.

Mungkin apa yang ceritakan adalah secebis kisah daripada kenikmatan melalui kesabaran tetapi sabar sahaja mungkin tidak cukup kerana perlu ada elemen-eleman lain.

Selain itu, faktor rezeki juga tidak boleh dipandang mudah kerana Solskjaer mencipta nama sebagai pengurus kelab Molde di Norway tetapi percubaannya untuk kembali ke England dengan membimbing Cardiff City pada 2014 tidak berjaya.

Namun, beliau kembali mencuba nasib menyahut cabaran daripada pihak pengurusan United dan kali ini jalannya kelihatan semakin lurus dan terang, malah peminat United juga sudah lagi tidak bercakap sama ada perlu memilih Zinedine Zidane atau Mauricio Pochettino.