Beliau berkata, bagi kes tibi, sebanyak 26,168 kes baharu dilaporkan pada tahun lepas, meningkat sebanyak lapan peratus berbanding 24,220 kes pada tahun 2015.

Bagi kes kusta pula katanya, 214 kes direkodkan pada tahun 2017 berbanding 206 kes pada tahun 2016 dengan 13 kes baharu melibatkan kanak-kanak di Kelantan, Pahang, Sabah dan Terengganu. 

"Peningkatan kes (tibi) adalah ekoran aktiviti pengesanan dan saringan kes yang dilakukan. Pada 2017, sejumlah 418,897 golongan berisiko tinggi tibi telah menjalani saringan X-ray dada dan sejumlah 3,631 kes baharu dikesan dan dirawat.

"Kadar kematian tibi pada 2015 adalah 5.5 setiap 100,000 penduduk telah meningkat kepada 6.8 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017," katanya pada ucapan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia peringkat Kebangsaan dengan tema Ke Arah Malaysia Bebas Tibi dan Kusta: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh di Felda Bukit Goh di sini hari ini. - Bernama