Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (Pertahanan Awam) Azahar Ahmad berkata, jumlah kes pada Januari dan Februari tahun lepas ialah sebanyak 174 kes, meningkat 34 kes pada tahun ini kepada 208 kes.

"Kita dapati bahawa antara faktor peningkatan kes membabitkan tangkapan ular ini ialah keadaan cuaca yang terlalu panas, selain faktor sampingan seperti habitat mereka diganggu, diceroboh atau dimusnahkan.

"Kes-kes yang diterima pula kebanyakannya membabitkan ular sawa batik serta ular berbisa seperti tedung selar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Azahar turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada pada setiap masa selain memastikan kawasan rumah bersih daripada sampah yang boleh menjadi 'rumah' kepada reptilia terbabit.

"Berhati-hati semasa hendak memakai kasut serta semasa menggunakan tandas kerana dibimbangi reptilia terbabit berada di situ untuk menyejukkan badan atau berteduh.

"Sentiasa pastikan tingkap, pintu rumah atau lubang pada pintu bertutup bagi mengelakkan ular menyusur masuk ke dalam rumah, serta periksa bahagian enjin kereta yang merupakan tempat ular sering menumpang teduh," katanya. - Bernama