Keputusan itu ditetapkan oleh Hakim Azreen Aziz terhadap dua tertuduh, Tay Leong Hew, 53, dan Tay Thian Chuan, 46, selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan.

Permohonan tersebut adalah untuk meneliti dan melengkapkan dokumen kes sebelum tarikh perbicaraan bermula.

Ia turut melibatkan proses merakam keterangan daripada13 saksi bagi membantu siasatan.

Pada prosiding yang sama, mahkamah juga menolak permohonan pihak pembelaan untuk mengembalikan sejumlah wang tunai sebanyak RM14 juta.

Keputusan itu dibuat kerana wang terbabit disabitkan di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang masih dalam siasatan.

Sementara itu, tarikh perbicaraan kes masih kekal pada 19 hingga 22 Februari depan.

Pada 23 November lalu, Op Gegar yang dijalankan JIM Sabah berjaya merampas wang tunai berjumlah RM14.5 juta di dalam pusat urut di Hotel Promenade dan di sebuah apartmen berdekatan dekat sini.

Dalam operasi tersebut empat individu termasuk kedua-dua tertuduh yang dipercayai dalang kepada kegiatan pelacuran berkenaan ditahan bersama 17 wanita warganegara Filipina yang disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan di pusat urut itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menguruskan rumah pensundalan di tingkat 2 Hotel Promenade, No.4 Jalan Lorong Api-Api, Api-Api Centre pada 8.44 malam pada 23 November lalu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 373 (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 35 yang membawa hukuman 15 tahun dan denda. - K! ONLINE