Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah tersebut, kes membabitkan penderaan wanita juga menurun daripada 4,026 pada tahun 2017 kepada 3,947 kes pada tahun lalu.

“Sebanyak 456 kes penderaan kanak- kanak dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu berbanding 429 kes pada tahun 2017.

“Kuala Lumpur menjadi negeri kedua tertinggi dengan sebanyak 62 kes pada tahun lalu berbanding 56 kes pada tahun 2017,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Hentikan Keganasan Wanita dan Kanak-Kanak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Beliau menambah, penurunan itu berpunca daripada peningkatan kesedaran dalam kalangan orang ramai.

“Kita juga harus mengambil kira kemungkinan bahawa ada kes-kes yang tidak dilaporkan kerana malu, halangan dan kurang pengetahuan tentang hak melindungi diri.

“Peranan masyarakat sebagai penyalur maklumat amat diperlukan sebagai salah satu cara menangani keganasan,” ujarnya. - K! ONLINE