Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya hanya mengetahui tentang perkara itu dua minggu selepas tarikh kanak-kanak tersebut dikatakan berada di Kuala Pilah pada 17 Disember tahun lalu sebelum menuju ke tempat lain.

"Tiada laporan rasmi dibuat kepada pihak kami. Jika mereka terus melaporkannya kepada kami, pihak polis boleh membuat sesuatu untuk mengesan kanak-kanak tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Noor Azam berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang permintaan daripada Kedutaan Argentina berhubung kes itu.

Semalam, seorang warga Argentina,  Elizabeth Avalos, 27, memohan bantuan rakyat Malaysia untuk mengesan anaknya, Alum Langone Avalos, 7 yang didakwa diculik bekas pasangannya Jorge Gabriel Langone yang juga bapa Alum.

Menurut laporan media, lelaki warga Argentina itu  didakwa melarikan Alum dari sekolahnya dan meninggalkan negara berkenaan serta memasuki Malaysia secara haram  tahun lepas.

Mereka didakwa mengembara bersama seorang wanita serta dilihat kali terakhir di Kuala Pilah dan dipercayai menuju ke Kulai, Johor. - Bernama