Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh Januari sehingga 13 Julai lalu, sejumlah 15 kes JE dilaporkan di negara ini dengan melibatkan tiga kes kematian JE iaitu dua di Sarawak dan satu di Perak.

Jelasnya, kesemua kes itu adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan. 

“Daripada jumlah 15 kes JE yang dilaporkan, empat kes di Sabah iaitu masing-masing satu kes di daerah Manggatal, Ranau, Papar dan Tambunan. 

“Tiada trend peningkatan kes dikesan di negeri Sabah meskipun bagi tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak lima kes JE telah dilaporkan di negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Beberapa media tempatan semalam melaporkan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong mengesahkan terdapat virus JE pada babi di negeri itu dan virus JE dikesan dalam ladang babi di Tambunan.

Kes terbaharu di daerah Tambunan dilaporkan pada 12 Julai lalu melibatkan seorang lelaki dewasa berumur 20 tahun dan telah dimasukkan ke Hospital Keningau pada 8 Julai 2019.

Lelaki itu kini masih menerima rawatan di wad perubatan hospital terbabit.

Satu lagi kes melibatkan kanak-kanak berumur tujuh tahun dari Taman Sentoria, Kota Samarahan, Sarawak merupakan kes yang dilaporkan pada tahun 2017 dan disahkan bukan kes JE.

Mengulas lanjut, menurut Noor Hisham, JE merupakan sejenis penyakit bawaan vektor disebabkan oleh flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala viral encephalitis.

Jelasnya, kebanyakan negara di Asia seperti India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam termasuk Malaysia merupakan negara endemik JE. 

“Khinzir dan burung liar merupakan takungan semula jadi bagi virus ini dan ia boleh disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex. 

“Bagaimanapun, manusia merupakan hos mati dengan transmisi jangkitan tidak boleh berlaku daripada seorang individu kepada individu yang lain,” katanya.

Jelasnya, tanda dan gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan. 

Tabahnya, bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera dan amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen serta memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk. -K! ONLINE