Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kesemua suspek berumur antara 19 hingga 39 tahun itu ditahan di empat lokasi berbeza.

Katanya dua daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Pagoh, Muar kira-kira 11.30 malam pada Ahad lepas manakala 11 lagi ditangkap semalam di tiga lokasi iaitu sebuah rumah di Yong Peng, Batu Pahat; sebuah hotel bajet di Jalan Wong Ah Fook di sini dan juga di Singapura antara 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Penahanan itu adalah susulan dua laporan diterima polis masing-masing pada 18 Julai dan 19 Ogos lepas berhubung dua remaja lelaki berusia 18 tahun yang dilarikan di Skudai dan Paloh yang keluarganya turut diminta untuk membayar wang tebusan sebanyak RM120,000.

"Daripada siasatan dan maklumat yang dikumpul, pihak polis percaya kejadian pertama dan kedua dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama.

"Lantaran itu, operasi telah dijalankan dan berjaya menyelamatkan mangsa kedua yang dikurung di sebuah rumah di Pagoh. Polis juga menemukan satu rangka manusia yang tidak sempurna di tempat pembuangan sampah di kawasan yang sama, namun identitinya masih belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamaluddin berkata pihaknya akan menunggu keputusan DNA daripada pihak hospital untuk menentukan sama ada rangka tersebut berkaitan mangsa pertama atau sebaliknya.

Pada masa sama, katanya polis juga akan menyiasat sama ada wang tebusan sudah dibayar kepada suspek.

Beliau berkata polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi membunuh berhubung penemuan rangka itu.

Kesemua suspek kini direman selama 12 hari sehingga 1 September depan untuk siasatan, katanya. - Bernama