Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 53 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kira-kira pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam di Pejabat SPRM Sarawak.

Menurut sumber, pegawai dan kakitangan BTN tersebut dipercayai telah bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.

Kata sumber, salah seorang daripada pemilik syarikat berkenaan dipercayai merupakan 'runner' bagi beberapa syarikat yang lain.

"Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada 2016 dan dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka.

"Siasatan awal juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat lelaki dan enam wanita terbabit.

Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses mengesan kesemua pemilik syarikat yang terlibat di seluruh Sarawak.

"Setakat ini, sembilan pegawai BTN dan enam pemilik syarikat telah ditahan dengan 138 orang saksi melibatkan 20 syarikat seluruh Sarawak telah dirakam pernyataan mereka.

"Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dua suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Kuching di sini petang ini," ujarnya lagi. - K! ONLINE