Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata walaupun kes penipuan  itu dilaporkan oleh media hampir setiap hari, masyarakat seolah-olah tidak sedar apabila pihaknya terus menerima laporan dari semua daerah kecuali Lipis.

"Daripada kerugian keseluruhan itu,  Kuantan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu lebih RM1.152 juta diikuti Rompin RM410,100, Cameron Highlands (RM270,092), Temerloh (RM267,960), Bentong (RM210,969).

"Raub  pula merekodkan RM179,596, Pekan (RM93,425), Jerantut (RM71,952), Maran (RM43,750) dan Bera (25,217)," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Katanya sebanyak 57 tangkapan berhubung penipuan itu  dilakukan sepanjang tahun lepas berbanding 11 tangkapan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata dari segi tangkapan, Bentong merekodkan tangkapan terbanyak membabitkan 46 individu, Pekan (lima suspek ), Temerloh (dua suspek) dan masing-masing satu tangkapan di Kuantan, Temerloh, Cameron Highlands dan Bera.

Sementara itu, Rosli berkata dalam tempoh 23 hari pertama tahun ini sahaja sebanyak 14 kes Macau Scam telah diterima di negeri berkenaan  membabitkan kerugian RM293,435.

Katanya Pekan mencatatkan kerugian tertinggi kira-kira RM112,600 yang membabitkan tiga kes, diikuti Bentong  (RM51,500 dengan dua kes), Maran (RM45,000 dengan satu kes), Temerloh (RM41,240 dengan dua kes), Kuantan (RM20,500 dengan dua kes), Kuala Lipis (RM16,495, dengan dua kes) dan Jerantut (RM6,100 dengan dua kes).

"Macau Scam ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu memperdaya mangsa melalui panggilan telefon dengan memaklumkan mangsa mendapat cabutan bertuah, mendakwa mangsa mempunyai hutang tertunggak dengan bank atau kesalahan lain sehingga mangsa menjadi panik.

"Sehubungan itu, saya menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang mencurigakan supaya menyiasat terlebih dahulu mengenai sebarang dakwaan serta tawaran yang dibuat dengan pihak yang bertanggungjawab bagi mengelak sebarang kerugian," katanya. - Bernama