Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan tersebut dan menunggu jawapan daripada DPP untuk tindakan susulan. 

"Kertas siasatan telah diserahkan dengan kes masih disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. 

"Kita yakin suspek berusia 68 tahun itu dapat didakwa dengan tempoh tahanan remannya akan berakhir esok," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas di sini hari ini. 

Terdahulu beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam antara Deputi Superitendan (DSP) Lai Lee Peng kepada DSP Ahmad Faizal Tahrim. 

Lee Peng berusia 52 tahun akan bertukar ke Bahagian Pendataan dan Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki merogol berusia bayi 11 bulan yang diasuh oleh menantunya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seksyen 24 di sini pada 20 Ogos lalu. - K! ONLINE