Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya perlu melengkapkan beberapa perkara lagi dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan berkenaan dihantar semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

"Kertas siasatan itu dikembalikan semula semalam dan ini kali kedua dipulangkan untuk kita lengkapkan sedikit lagi siasatan serta keterangan-keterangan lain sebelum dihantar semula kepada pihak pendakwaan.

"Seperti yang ditegaskan sebelum ini, siasatan kes tersebut dijalankan dengan telus dan adil kepada kedua-dua pihak. Disebabkan itu, kita akan lengkapkan lagi siasatan dalam sehari atau dua hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Akhbar pada 9 Julai lalu melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya.

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwan Negeri namun dikembalikan semula kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya bagi mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

Kedua-dua laporan tersebut diterima pihak polis pada Isnin lalu dan dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri kelmarin sebelum dipulangkan semalam untuk tindakan seterusnya.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dilantik sebagai Ketua JSJ Perak berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman yang menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan polis selepas bersara pada Jun lalu.

Majlis pemakaian pangkat daripada Asisten Komisioner kepada Senior Asisten Komisioner itu disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis pemakaian pangkat dan serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh antara Senior Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah yang akan memangku tugas tersebut.

Mohd. Ali yang dinaikkan pangkat itu akan menjadi Ketua Staf Pasukan Khas, Eastern Sabah Security Command (Esscom), Jabatan Perdana Menteri. - K! ONLINE