Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu laporan forensik dan perubatan individu terlibat dan ia dijangka diperolehi dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Polis telah menghantar kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk disemak dan dikaji. Masih ada beberapa perkara perlu kita perolehi terutama laporan doktor dan laporan forensik.

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi kedua-dua laporan tersebut dijangka diperoleh,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Razarudin memberitahu, pembantu rumah berusia 23 tahun itu berada dalam keadaan selamat dan dia kini ditempatkan di rumah perlindungan di Kedutaan Indonesia.

“Berdasarkan perbincangan yang diadakan, wanita terbabit akan berada di negara ini sehingga siasatan kes berkenaan selesai,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desakan pihak tertentu yang mahu Exco berkenaan ditahan, beliau menegaskan, pihak polis menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tangkapan akan dilakukan sekiranya suspek mengganggu siasatan atau mangsa selain melarikan diri. Sekiranya tiada siasatan yang perlu dibuat, maka tiada sebab untuk suspek ditahan.

“Dalam undang-undang, jaminan diberikan kepada kes-kes yang boleh dijamin selepas siasatan lengkap. Bukan berat sebelah tetapi tindakan kita berpandukan kepada undang-undang dan SOP sedia ada," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahli Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Isnin lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE