Tanah Bencah Setiu merupakan satu-satunya tanah lembap di negara ini yang mempunyai sembilan ekosistem saling berhubung iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar, gerak kerja yang dijalankan melibatkan penyelidik dari UMT serta WWF-Malaysia itu memainkan peranan penting dalam menyokong usaha sedia ada dari pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.

"Kerjasama antara UMT dan WWF mampu memberi impak lebih besar kepada kelestarian di daerah tersebut dalam era selepas pewartaan kawasan Tanah Bencah Setiu sebagai taman negeri terutamanya dalam merangka model pengurusan serta pelaksanaan eko-pelancongan berteraskan komuniti.

"Jaringan kerjasama itu turut tertumpu kepada usaha untuk membimbing serta memperkasa masyarakat Setiu sebagai pemain utama dalam aktiviti eko-pelancongan di kawasan tersebut," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMT dan WWF-Malaysia di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr, Dionysius Sharma dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Rosman Roslan.

Jelas Nor Aieni, secara tidak langsung, ia turut memberi implikasi terhadap peningkatan taraf sosio-ekonomi komuniti setempat disamping melestarikan alam sekitar sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin mewartakan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu 1986. - K! ONLINE