Beliau yang juga calon Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan depan berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas terbabit bakal mengubah pola pengundian di kedua-dua negeri Pantai Timur tersebut yang selama ini setia mengundi antara satu daripada dua parti pembangkang itu sahaja.

"Saya menjangkakan UMNO dan Pas akan menjadi lebih rapat selepas ini dan mungkin ada kerjasama rasmi. Kedua-dua parti telah bereksperimen pada dua Pilihan Raya Kecil (Sungai Kandis dan Seri Setia) dan tidak pernah ada Presiden UMNO yang menghadiri Muktamar Pas seperti akan dilakukan Datuk Seri Zahid Hamidi.

"Sudah pasti ada sebahagian ahli UMNO dan Pas termasuk di Kelantan dan Terengganu tidak selesa dengan kerjasama ini, begitu juga pengundi atas pagar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program jelajah Reformasi 20 Tahun peringkat Terengganu di sini malam tadi.

Rafizi yang juga anak jati Terengganu menjelaskan, pengundi-pengundi di Kelantan dan Terengganu yang tidak bersetuju dengan kerjasama Pas dan UMNO berkemungkinan akan memilih parti lain iaitu PH.

PH gagal memenangi walaupun satu kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan dan Terengganu dengan sebahagian calonnya hilang wang pertaruhan pada PRU-14 lalu. - K! ONLINE