Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, para pemimpin dan ahli dari kedua-kedua parti ini dilihat semakin mesra apabila menghadiri sesuatu majlis atau program.

"Hubungan UMNO dan Pas di negeri ini semakin kukuh bermula dengan penganjuran Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang pada 26 April lalu apabila lebih 10,000 umat Islam hadir.

"Muktamar Pas kali ini juga berlangsung di negeri ini dan ia membuktikan kami serius dalam menjalinkan kerjasama," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Nazri Ngah; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud.

Wan Rosdy memberitahu, kehadiran beberapa pemimpin Pas cawangan Jerantut ke program anjuran UMNO Bahagian mampu menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.

"Saya harap kerjasama antara UMNO dan Pas ini dapat dikekalkan malah kita akan bergabung untuk menerajui negara demi agama, bangsa dan negara," jelasnya. - K! ONLINE