Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, perkara itu bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin dan mereka tidak terdedah kepada perkara yang tidak diingini.

Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang pelajar perempuan yang maut selepas dilibas bilah mesin rumput dari sebuah traktor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan di sini awal pagi tadi.

"Kementerian Pendidikan dan pihak polis akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk melihat sama ada ia berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor atau kesilapan pihak sekolah.

"Kalau ada pelajar di padang sekolah tidak seharusnya ada kerja-kerja pemotongan rumput," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kelas Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Nur Afini Roslan, 14, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun cedera di kepala dan telinga selepas terkena peralatan berkenaan.

Beliau yang mewakili Kementerian Pendidikan turut mengucapkam salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian menyayat hati itu.

Terdahulu, Kamalanathan merasmikan sebuah bilik darjah yang diubahsuai dengan konsep Frog VLE bagi melengkapkan pelajar dalam ledakan teknologi bagi menggantikan bilik darjah biasa dan buku teks kepada pembelajaran terkini abad ke-21.

Tambah beliau, bilik darjah Frog VLE itu merupakan hasil inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat Yayasan YTL,  Express Rail Link Sdn. Bhd  (ERL) dan ERL Maintenance Support Sdn. Bhd. (E-MAS).

"Penguasaan teknologi juga menjadi sebahagian proses pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara, setakat ini usaha tersebut telah dicetuskan Yayasan YTL di 200 kelas," katanya. - K! ONLINE