Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya mengesan pencemaran bau di muka sauk yang merekodkan bacaan empat Ton dan ia menyebabkan ketiga-tiga loji rawatan air itu terpaksa dihenti tugas.

"Pada pukul 5.00 petang tadi kadar bau di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 3 mencatatkan bacaan bau ton sifar dan telah kembali beroperasi, manakala LRA 1 dan 2 baru sahaja mencatatkan ton sifar pada pukul 7.00 petang dan dalam proses pengoperasian semula.

"Memandangkan Air Selangor dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran itu, insiden ini mungkin boleh berulang. Oleh yang demikian, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini," katanya.

Tambah Suhaimi pihaknya juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah (ERP Kod Merah) berikutan kawasan terjejas yang besar. 

"Pihak kami juga telah memaklumkan insiden ini kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kami juga telah menghubungi Unit Bencana Negeri bagi membantu kami menangani situasi ini," katanya.

Tambahnya Air Selangor memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pelanggan akibat insiden berkenaan.

Terdahulu 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran berkenaan. - Bernama