Jika diimbas tahun-tahun awal selepas menjulang Piala Thomas 1992, kecintaan rakyat Malaysia terhadap sukan badminton begitu membuak-buak malah ada antaranya beraksi sambil meniru gaya wira negara ketika itu.

Wira-wira yang menjulang Piala Thomas pada masa itu ialah Rashid Sidek, Foo Kok Keong dan Kwan Yoke Meng, Razif Sidek-Jalani Sidek dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang. Pada tahun ini, sekali lagi kejohanan berprestij Piala Thomas akan berlangsung bermula 20 hingga 27 Mei di Bangkok, Thailand.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menamakan pasukan terbaik negara minggu lalu bagi menggalas misi Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas nanti. Terlebih dahulu, skuad negara perlu melayakkan diri sekurang-kurangnya sebagai empat pasukan terbaik pada kejohanan badminton berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah bermula 6 hingga 11 Februari depan.

BAM menyenaraikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk mengetuai pasukan negara yang turut dibarisi Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, manakala Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menggalas cabaran dalam acara beregu.

Senarai pasukan negara yang diumumkan itu mendapat reaksi bercampur-baur. Ada yang memandang sinis terhadap kemampuan skuad negara kali ini, namun tidak kurang juga yang percaya pasukan diketuai Chong Wei akan mampu melangkah ke pusingan akhir Piala Thomas.

Memang tidak dinafikan, selain Chong Wei yang berada di ranking No. 2 dunia dan bekas beregu No. 1 dunia, V Shem-Wee Kiong, nama-nama lain belum diyakini mampu menggegarkan pentas antarabangsa.

Atas kertas, peluang Malaysia dilihat benar-benar payah, namun penulis yakin dan optimis terhadap skuad kebangsaan terutamanya pemain-pemain muda kali ini bakal menjadi tunjang negara untuk melangkah ke pu­singan akhir Piala Thomas kelak. Pepatah ada menyebut, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Pemain-pemain muda itu mungkin mempunyai daya juang tinggi dan semangat luar biasa untuk merealisasikan impian Malaysia ke Piala Thomas.

Bagi penulis, jika semut menggigit kena pada tempatnya, gajah sebesar mana pun boleh tumbang. Bagaimanapun, pemain-pemain negara perlu memiliki ketahanan mental yang tinggi dan mentaliti untuk menang. Elemen itu yang akan menentukan kemenangan di dalam gelanggang kelak.

Penulis teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh Joo Ven, 22, apabila meminta rakan-rakan sepasukan dalam skuad Piala Thomas agar tidak mudah menyerah kalah biarpun perlu berdepan pasukan-pasukan besar lain seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

“Ini kali kedua saya menggalas tugas pada aksi kelayakan tetapi kali ini ia lebih sukar kerana sasaran sangat tinggi. Kami tidak ada pilihan lain selain berjuang habis-habisan,” kata Joo Ven baru-baru ini.

Mungkin kehadiran Malaysia pada edisi Piala Thomas 2018 boleh dilabelkan sebagai underdog berdasarkan ranking pemain dan negara, namun penulis percaya skuad kebangsaan masih dihormati bahkan pasukan yang perlu dielak oleh mana-mana lawan kerana menye­dari Malaysia mampu melakarkan kejutan.

Apa pun, penulis melahirkan harapan agar skuad Malaysia akan menampilkan aksi cemerlang dan berjuang demi maruah negara pada kejohanan badminton Berpasukan Asia di Alor Setar nanti agar kerinduan selama 26 tahun untuk mendakap Piala Thomas direalisasikan pada 2018.