Beliau berkata bahan bakar fosil mungkin boleh bertahan 25 tahun lagi atau kurang daripada tempoh itu dan dengan itu wujud keperluan untuk melakukan perubahan segera dalam usaha untuk beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih lestari.

Pengeluar kenderaan seperti  BMW, Mercedes, Porsche dan Nissan semuanya telah mengeluarkan kereta bandwagon elektrik dalam usaha untuk menerokai pemasaran dan pengkomersialan sebagai pilihan untuk jangka panjang, katanya dalam kenyataan.

"Untuk masa depan, pastinya, pilihannya ialah kenderaan elektrik (EV). Evolusi daripada kenderaan menggunakan bahan bakar fosil kepada EV telahpun bermula. Pada ketika ini, semasa dunia terus menonton perlumbaan F1, perlumbaan  Formula E-racing semakin mendapat tempat di hati peminat.

"Bagi saya ini cara berdaya maju "untuk masa depan'. Oleh itu, saya pasti manfaat mempunyai kereta nasional ketiga jelas akan mengatasi sebarang kekurangannya," kata naib presiden PKR itu.

Sekiranya EV dikeluarkan secara besar-besaran di sini pada masa depan,  Dr Xavier Jayakumar berkata lebih ramai orang akan mempunyai pilihan untuk beralih kepada kenderaan lebih mesra alam sekitar pada harga lebih mampu milik.

"Pembelajaran teknologi baharu akan mendorong generasi muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu dan Malaysia boleh menjadi peneraju dalam segmen automobil itu bukan sahaja di rantau ini tetapi juga peringkat global.

"Industri kereta EV secara relatifnya adalah bidang baharu dengan Elon Musk's Tesla menerajuinya pada ketika ini. Peluang untuk menarik golongan belia kita menceburinya dan mengembangkannya adalah tiada hadnya. Biar kerajaan menerajui idea ini," katanya.

Xavier Jayakumar berkata sejak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir, beliau telah menyatakan hasratnya untuk memperkenalkan kereta nasional ketiga dalam usaha untuk merangsang dan meningkatkan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya hasrat Mahathir itu telah dikritik berikutan prestasi keseluruhan Proton, kereta nasional pertama yang diilhamkannya.

Xavier Jayakumar berkata baru-baru ini dilaporkan bahawa dua syarikat China bersedia melabur sehingga US$10 billion (RM41 bilion) untuk memulakan projek itu bagi lima tahun pertama.

Selain itu, cadangan Mahathir itu turut menarik minat beberapa pengeluar kereta Jepun seperti Toyota dan Nissan, katanya.

"Pada pendapat saya, sekiranya urusan itu berjaya, ia akan memanfaatkan negara dan rakyatnya untuk jangka panjang," katanya. - Bernama