Sejak hari pelancaran hingga ke saat ini gambar-gambar kereta tersebut tular dalam media-media sosial. Ia memperlihat sisi lebih moden berbanding model terdahulu yang sudah terbukti menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Ramai orang bercakap mengenai perubahan 360 darjah model kereta kompak tersebut berbanding model terdahulu. Sekali pandang Myvi generasi baharu lebih slim atau lebih ramping berbanding model sebelum ini yang berbentuk agak gempal dan bulat. Apakah formula yang diguna pakai oleh Perodua sehingga berjaya membawa perubahan ketara terhadap rekaan kereta ikonik tersebut?

Jika diamati Myvi baharu memiliki gabungan pelbagai ‘DNA’ kereta-kereta yang terdapat dalam pasaran negara pada ketika ini termasuk jenama-jenama seperti Honda, Proton, Toyota dan Mazda.

Ada yang mengatakan dalam media-media sosial bahawa lampu hadapan sama seperti Proton Saga Flx, lampu belakang seakan-akan Honda HRV dan stereng mirip rekaan yang terdapat pada kereta jenama Mazda. Paling ramai bersuara mengenai rupa paras Myvi baharu seiras bentuk Honda Jazz.

Biar apa jua yang diperkatakan mengenai rekaan terbaharu itu, komen-komen di media sosial memuji tindakan berani pengeluar kereta tempatan tersebut mengetengahkan reka bentuk lebih moden dan muda. Pukul rata, netizen tidak berat sebelah mengenai perubahan dilakukan Perodua. Ramai yang menyatakan kesanggupan menambah hutang di bank semata-mata ingin memiliki kereta baharu itu.

Masih dalam bentuk kereta kompak, Myvi baharu menerjah hati orang muda supaya berfikir sejenak sebelum membuat keputusan membeli kereta-kereta jenama import yang jauh lebih mahal. Tawaran dari segi teknologi dan keselamatan kini dipertingkat 100 peratus menjadikan Myvi baharu mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan jenama kereta import.

Pun begitu sedikit perdebatan mengenai pilihan sama ada kereta tempatan atau luar negara sentiasa menjadi isu yang tidak pernah lekang dibincangkan setiap kali model baharu syarikat lokal masuk dalam pasaran. Komen-komen negatif menjadi lauk utama dalam kalangan netizen menghentam pengeluar kereta tempatan bahawa ia terlalu mahal dan tidak setanding dengan kualiti yang ditawarkan.

Julat harga yang tertera pada kertas nampak tinggi, namun dengan penawaran teknologi terkini daripada Perodua, ia mampu menutup mulut netizen. Enam beg udara, bantuan keselamatan tercanggih (ASA), sistem brek antikelincir (ABS) dengan pengagihan daya brek elektronik (EBD), kawalan stabiliti kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), bantuan mula-daki (HSA) serta lampu brek kecemasan (ESS) dilihat satu tawaran yang berbaloi.

Malah, Myvi baharu mampu meluncur sejauh 21.1 kilometer per liter (KM/L) untuk enjin bersesaran 1.3L dan boleh mencecah 20.1 KM/L bersama tawaran kuasa enjin 1.5L. Kedua-dua enjin tersebut turut dilengkapi sistem cekap tenaga (EEV) dan autoidle yang membantu penjimatan minyak.

Jika dilihat ke belakang, jenama kereta tempatan baik Perodua mahupun Proton kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Sebagai rakyat, kita patut menyokong barangan buatan Malaysia. Pendek kata, semuanya terpulang kepada pilihan masing-masing kerana setiap kereta yang bakal dimiliki pasti akan melalui proses pinjaman daripada pihak bank.

Pokok pangkal buatlah pilihan bijak dan jangan sampai biar papa asal bergaya yang akhirnya belum sampai hujung bulan sudah terpaksa makan mi segera.