Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu sedang memandu seorang diri dari Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, Mohd. Hafiz Mat Dali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.40 pagi memaklumkan sebuah kereta terbakar di lebuh raya tersebut.

“Seramai tujuh anggota dan satu jentera dari BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jarak sejauh empat kilometer dari balai ke kawasan tersebut.

“Ketika sampai di lokasi, terdapat sebuah kereta jenis Mercedes terbakar hampir sepenuhnya di bahagian belakang sebelah kiri dan pemandunya berjaya menyelamatkan diri serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Hafiz menambah, berdasarkan keterangan daripada pemandu, ketika dia sedang memandu, secara tiba-tiba berlaku kebakaran di bahagian belakang sebelah kiri kereta tersebut.

“Kebakaran berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian namun kereta tersebut hampir hangus keseluruhannya.

“Punca kebakaran masih berada dalam siasatan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor,” ujarnya. - K! ONLINE