Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenderaan jenis Perodua Kembara itu yang dijadikan kenderaan pengiring kepada sebuah lagi kenderaan penyelenggara didapati tidak bergerak semasa pesawat jenis Bombardier Challenger 300 dengan nombor pendaftaran 9M-TST mendarat pada pukul 3.11 pagi di lapangan terbang tersebut.

Menurutnya, tiga pekerja kontraktor yang menaiki kereta penyelenggara mendapati kereta Perodua Kembara itu masih statik di posisi sama iaitu kira-kira 30 meter di belakang kenderaan berkenaan.

"Pekerja kontraktor menjelaskan mereka memulakan kerja mengecat garis tengah landasan dari landasan 15 sebelum bergerak ke landasan 33.

"Pada mulanya, kereta mangsa mengikuti kereta penyelenggara secara rapat di belakang namun selepas seketika, kereta itu didapati ketinggalan kira-kira 30 meter di belakang dan tidak bergerak tanpa sebab jelas" katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, berdasarkan keterangan saksi, mereka memberi lampu tinggi beberapa kali untuk menarik perhatian kereta mangsa namun tiada maklum balas diberikan.

"Ketua pekerja kontraktor ternampak signal cahaya untuk pesawat mendarat semakin dekat dan menyedari bahaya itu, mereka menaiki semula kereta untuk keluar dari landasan.

"Semasa membuat pusingan 180 darjah, pemandu kereta penyelenggara menyedari kereta mangsa masih statik di posisi sama dan lampu tinggi dipancarkan beberapa kali bagi menarik perhatian tetapi tiada respons.

"Kereta penyelenggara itu kemudian dipandu keluar dari landasan sebelum berhenti di laluan taxiway Foxtrot bagi memberi laluan kepada pesawat tersebut mendarat," jelasnya.

Tambah Siew Fook, kerusi pemandu didapati diturunkan ke belakang namun tidak dapat dipastikan lagi sama ada mangsa tertidur ketika kejadian.

"Kita masih belum dapat membuat kesimpulan sama ada mangsa tertidur atau tidak. Apa yang kita boleh tentukan ialah kerusi pemandu diturunkan ke belakang," katanya.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, kedua-dua pegawai kawalan trafik udara itu digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Hasil siasatan akhir kejadian akan siap dalam masa setahun dari tarikh insiden. 

“Ketika ini, masih terlalu awal untuk merumuskan bahawa ia adalah disebabkan kecuaian manusia,” katanya.

Pesawat yang membawa 12 orang penumpang termasuk juruterbang dan kru kabin dari Jaipur, India itu mendarat pada kelajuan 166.7 hingga 185.2 kilometer sejam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan insiden kematian Mohd. Ruzaimi Iskandar yang dilanggar sayap pesawat Bombardier Challenger 300 di LTSAAS disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat. 

Mohd. Ruzaimi Iskandar meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di sebuah hospital swasta akibat parah setelah dirempuh pesawat yang mendarat ketika menyelia kerja penyelenggaraan di landasan LTSAAS. - K! ONLINE