Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 39 tahun itu dihubungi seorang individu melalui nombor +80326191000 dan menyamar pegawai sebuah bank.

"Suspek mendakwa, mangsa memiliki tunggakan hutang kad kredit sebanyak RM6,000. Selepas mangsa menafikan memiliki akaun kad kredit bersama bank itu, suspek mendakwa kad pengenalan mangsa telah digunakan pihak lain untuk membuka akaun di bank itu.

"Talian disambungkan kepada seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Bank Negara yang meminta semua butiran akaun bank dimiliki mangsa," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mohd. Wazir menambah, selang beberapa jam kemudian, mangsa kerap menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan sejumlah wang daripada akaun miliknya telah berjaya dipindahkan melalui beberapa transaksi ke dalam akaun milik individu tidak dikenali.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands selepas menyedari tertipu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE